Analisis PRK Hulu Selangor

26 04 2010

Saya terpanggil untuk mengulas apa yang berlaku di Hulu Selangor yang telah membawa kemenangan Barisan Nasional.Namun pada waktu ini jadual saya begitu sibuk bagi menyiapkan tugasan tugasan sebagai seorang mahasiswa.

InsyaAllah analisa akan ditulis kemudian. Perlu saya ingatkan seluruh pembaca bahawa setakat ini, apa yang berlaku adalah keputusan seri antara Pakatan dan Barisan. Kenapa seri?daripada 10 pilihanraya setakat ini, 8 pilihanraya adalah pilihanraya kecil untuk mempertahankan kerusi masing masing.

Pakatan berjaya MENGEKALKAN kemenangan mereka di Permatang Pauh,Bukit Gantang,Bukit Selambau,Penanti,Manik Urai dan Permatang Pasir. Manakala BN berjaya mengekalkan kerusi miliknya di Bagan Pinang dan Batang Air.

Yang sepatutnya kita lihat ialah perpindahan kerusi. Kerusi yang berpindah milik hanya ada dua. Iaitu kerusi Parlimen Kuala Terengganu (dari BN jatuh ke PAS) dan juga yang terbaru Parlimen Hulu Selangor (dari PKR ke tangan BN).

Jadi setakat ini,perlawanan adalah 1:1

Kesimpulan ringkas saya ialah,suasana politik sudah sedikit berubah.Kita menjangkakan PKR akan kalah teruk berikutan masalah dalaman parti itu.Namun sebenarnya undi yang diperoleh PKR dihulu selangor adalah lebih tinggi berbanding PRU 2008 dgn pertambahan sebanyak 98 undi.( 23,177 kepada 23,272 undi). Ini menunjukkan segala kemelut politik yang melanda PKR sejak akhir akhir ini tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada parti itu.

Kedua, ternyata orang Melayu Hulu Selangor tidak secerdik orang Melayu di Kuala Terengganu. jika kita imbas, di Kuala Terengganu Najib dan BN telah membuat janji pilihanraya yang sangat besar sehingga mencecah lebih 1 billion. Namun orang Kuala Terengganu tidaklah bodoh dan miskin untuk menerima rasuah politik.

Kita sedih di Hulu Selangor, BN membelanjakan lebih 40 juta ringgit untuk menggula gulakan pengundi disana.Mungkin tahap kecerdasan politik tidak sama bagi kedua dua pengundi di dua tempat berbeza.Apapun Pakatan perlulah bermuhasabah. Kelemahan Pakatan adalah felda dan kawasan luar bandar. Itu yang perlu di fikirkan.





Parlimen Hulu Selangor Jatuh ke Tangan Barisan Nasional

25 04 2010

P. Kamalanathan 24,997 undi



Dato Zaid IbrahiM  23,272 undi

MAJORITI : 1725 UNDI





Analisis Peluang Pakatan dan Barisan di Hulu Selangor

25 04 2010

Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor sedang berjalan pada waktu ini. Ia menyaksikan perlawanan satu lawan satu antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.Masing masing yakin bahawa mereka bakal menang. Ramai penganalisis politik turut membuat ramalan berdasarkan kajian rawak mereka di Hulu Selangor.

Saya akan memberi sedikit analisa sebagai ramalan keputusan malam ini. Analisa ini adalah berdasarkan sentimen pengunjung blog ini.Poll ini telah lama di letakkan di dalam blog iaitu beberapa minggu sebelum PRK berlangsung. dan setakat ini seramai 108 orang mengambil bahagian dalam poll kali ini.

Diperingkat awal,ramai menjangkakan Pakatan (PKR) akan gagal mempertahankan kerusi ini kerana PKR di kejutkan dengan tindakan keluar parti beberapa ahli parlimennya dan juga adunnya. Namun pada hari ini setakat pukul 11.40 minit pagi, Keputusan adalah seperti berikut.

Sebanyak 52% responden percaya PKR bakal mengekalkan kerusi parlimen ini dari dirampas oleh Barisann Nasional. Meskipun PKR dilanda ribut taufan dek kerana tindakan beberapa katak yang melompat keluar,namun keputusan ini dilihat sebagai petanda bahawa sokongan rakyat terhadap PKR tidak berkurang, malah menjadi semakin kuat.

Mereka mungkin melihat tindakan keluar parti ini adalah tindakan yang ada kepentingan peribadi dan bukan kerana dasar parti yang tidak kukuh.Ada benarnya kata Timbalan Presiden PKR bahawa partinya kini semakin bersih dan kukuh kerana kotoran kotoran dan daki sudah keluar dari parti.

Manakala 37% undian pula berpendapat BN bakal merampas kerusi itu dari PKR. Pilihan ini mungkin kerana prestasi Najib yang semakin baik dalam pentadbiran. Dasar 1Malaysia Najib dilihat berjaya oleh para pengundi dan ini memungkinkan sokongan terhadap parti pemerintah itu bertambah pulih di Hulu Selangor.

Pengundi sebanyak 37% ini mungkin percaya bahawa Pakatan semakin lemah kerana ramai ahli ahlinya yang keluar parti. Mungkin juga mereka merasakan Pakatan Rakyat adalah rapuh dan tidak mampu mempertahankan kerusi yang hanya dimenangi dengan majoriti tipis iaitu 198 undi pada PRU yang lepas.

Seramai 11% responden pula tidak pasti siapa yang akan memenangi pilihan raya ini. Analisis ini dilihat selari dengan ramalan yang dikemukakan oleh kajian Zentrum  yang mendapati sokongan terhadap Pakatan pada waktu ini adalah melebihi BN sebanyak beberapa %.

Apapun,ini semua hanya ramalan kasar.Sama sama tunggu keputusannya malam ini.





BN Guna Taktik Kotor

22 04 2010

Kempen PRK Hulu Selangor nampaknya makin panas. Saya yang kat UTP ni pun tak senang duduk dibuatnya. Tinggal beberapa hari je lagi sebelum hari pengundian. BN yang berjanji takkan serang peribadi calon nampaknya telah mungkir janji.

Isu lama diungkit ungkit.Zaid Ibrahim pun mengakui masa muda dulu,memang dia khilaf minum arak. Dia tak malu nak mengaku. Dia kata dia dah taubat dan dah tak sentuh dah arak ni semua. Kenapa BN bising bising lagi? Tak de modal lain ke?Orang tu dah berubah lagi nak diungkit ungkit.

Umar Al Khattab dulu bukan setakat minum arak. Tapi bunuh anak hidup2 lagi. Tapi lepas dah masuk Islam dan bertaubat,Allah ampunkan dosa dia.Malah Nabi janjikan dia syurga lagi! UMNO macam la baik sangat. Baru baru ni Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali mendedahkan, semua mantan Perdana Menteri pernah minum arak.malah mereka turut terlibat dengan sekurang kurangnya tiga dosa iaitu rasuah,wanita dan judi. Harap kenyataan ini dapat dinafikan oleh Tun hari ini di UTP selepas syarahan perdana beliau.

UMNO tak layak la rasanya nak hentam orang macam Zaid dalam isu arak. Sebab pemimpin mereka pun ramai minum arak. Kilang arak terbesar di Filipina siapa beli?Lesen lesen perjudian yang semakin banyak sekarang ni siapa yang luluskan?Satu gunung genting diberi pada tauke cina untuk apa?Macam macam lagi lah.

Jadi BN nampaknya guna strategi yang akhirnya makan tuan.Setiap apa yang mereka kata semua makan diri. Gambar Hishamudin Hussein time muda muda dulu yang kelihatan meminum arak dah tersebar. Gambar Khairy Jamaludin depan botol2 arak pun tersebar.

Lim Kit Siang pun dah mengeluarkan cabaran buat  Najib,Muhyidin,Nazri Aziz,Khairy,Hishamudin dan Jamaludin Jarjis untuk menafikan mereka  pernah mengambil alkohol sebelum ini. Setakat ini tidak kedengaran satu pun dari mereka menjawap cabaran ini.

Bak kata Lim Kit Siang, kalaulah arak menjadi satu syarat, maka mesti separuh kerusi kabinet akan kosong pada waktu ini dan mungkin satu lagi pilihanraya kecil di Parlimen Rompin perlu diadakan dalam masa terdekat!

Harap cara berpolitik yang kotor macam ini boleh diubah. Sila tumpukan kepada perkara dasar. Tumpu isu rakyat.bukan isu kisah lampau calon yang dah berubah.Apapun, 65 ribu pengundi Hulu Selangor akan memberi jawapannya ahad ini.





Pertarungan Sengit di Hulu Selangor Dengan Rasminya Bermula Hari Ini

17 04 2010

ihsan : Malaysian Insider

Kawasan Parlimen Hulu Selangor tidak akan menjadi medan yang mudah untuk Parti Keadilan Rakyat mempertahankan kerusi yang dimenanginya dengan majoriti tipis dalam pilihan raya umum 2008.

Yang memenangi kerusi itu bagi pihak PKR dua tahun lalu adalah Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad. Allahyarham bukan sebarangan orang; bekas Timbalan Menteri Besar sewaktu Umno-Barisan Nasional menguasai Selangor. (Allahyarham menyertai PKR pada 2005.)

Namun dengan populariti dan kehebatan Allahyarham pun, kerusi Parlimen itu yang mempunyai kira-kira 64,000 pengundi hanya dimenanginya dengan majoriti 198 undi, menewaskan penyandang Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel.

Malah, kesemua tiga Dewan Undangan Negeri — Batang Kali, Hulu Bernam dan Kuala Kubu Baharu — dalam kawasan Parlimen itu telah dimenangi oleh BN.

Faktor-faktor ini yang menjadikan pucuk pimpinan Umno dan BN yakin dengan usaha mereka untuk menawan semula Hulu Selangor Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bertekad supaya BN berjuang habis-habisan untuk merampas semula kerusi itu. Malah, bukan setakat menang, katanya, tetapi juga berjaya meraih undi sebanyak yang mungkin.

Tetapi Hulu Selangor juga menjadi masalah kepada BN. Sebelum pemilihan Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan sebagai calon BN, gabungan pemerintah pusat itu mengalami masalah pemilihan calon.

Umno yang merasakan dipinggirkan sejak Merdeka di kawasan di mana Melayu mewakili separuh jumlah pengundi mahu calon dipilih dari kalangan mereka. Namun, pucuk pimpinan Umno memilih jalan selamat dengan mengekalkan status quo.

Apabila MIC diberi mandat sekali lagi, timbul lagi soal siapa calon. Palanivel sebagai bekas penyandang menjadi pilihan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu tetapi ia ditolak oleh Umno dengan mengemukakan calon MIC pilihan mereka sendiri. Akhirnya Kamalanathan dipilih sebagai calon kompromi.

Sejak PKR menamakan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon pada Selasa lalu, Umno melalui media perdana miliknya telah membangkitkan isu “anak tempatan” atas alasan Zaid adalah anak negeri Kelantan, walau pun telah menetap di Selangor sejak lebih 30 tahun.

Isu itu kemudiannya dimatikan apabila Kamalanathan dipilih kerana beliau juga bukan anak tempatan Hulu Selangor.

Begitu juga usaha Muhyiddin untuk mempelekehkan Zaid dengan menyifatkannya sebagai calon bukan “heavyweight”, sebaliknya “lightweight”. Timbalan Perdana Menteri itu juga menambah: “Kalau kita lihat rekod Zaid bukanlah baik sangat.”

Seranah terhadap Zaid ini pula disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berada di Washington DC dalam rangka lawatannya ke Amerika Syarikat pada Jumaat lalu; apabila ditanya mengenai pencalonan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, Najib menjawab: “Semua orang kenal Zaid. Tak perlu saya ulas.”

Memang Najib mahu memperlekehkan Zaid. Bagi pihak BN tentunya Zaid adalah musuh kerana enggan bersama Umno dan menyertai PKR. Tetapi jika kata-kata “semua orang kenal Zaid” itu dilihat dalam perspektif lain, ia memberi pengertian positif.

Walau pun lama bersama Umno, Zaid sering menjadi sasaran dalaman parti kerana ketegasannya mahu membawa perubahan positif dalam Umno. Malah, rekod cemerlangnya sebagai Menteri yang paling singkat berkhidmat — 6 bulan — masih diingati ramai. Sepanjang perkhidmatannya, beliau mahu mereformasikan sistem perundangan negara tetapi disekat oleh pimpinan Umno.

Zaid adalah satu-satunya Menteri — sejak lebih 40 tahun lalu — yang berani meletak jawatan kerana atas dasar prinsip kerana membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan tanpa bicara pemimpin DAP Teresa Kok, blogger Raja Petra Kamarudin dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng pada September 2008.

Suara Zaid, sejak dalam Umno hingga hari ini, yang mahu peluang saksama dan keadilan ditegakkan untuk semua tanpa mengira kaum telah menjadi duri dalam daging kepada Umno. Zaid juga secara terbuka menyatakan rasa sayang kepada Melayu dan mahu Melayu dmartabatkan ke tahap yang lebih tinggi dan mulia tanpa perlu bergantung kepada sistem ala feudal dan korup Umno.

Pendirian tegas Zaid ini sedang dan akan terus dimainkan oleh Umno melalui kempen serta media perdana milik mereka untuk menggambarkan penyeralas Pakatan Rakyat itu sebagai “Melayu liberal” yang tidak sayangkan kaum sendiri.

Namun, tohmahan terhadap Zaid sukar untuk memadamkan kelemahan dalaman Umno dan BN yang terpaksa memilih calon kompromi.

Pada hari penamaan calon pagi ini, dua calon bebas telah disahkan pencalonan mereka. Kedua-duanya adalah anggota BN — seorang dari Umno Johan Md Diah manakala satu lagi dari MIC V.S. Chandran; mereka dikatakan anak tempatan Hulu Selangor.

Johan telah pun diumumkan akan dipecat kerana bertanding bebas atas alasan mahu membela Melayu manakala Chandran sebelum ini menyatakan beliau mahu “mengajar” Samy Vellu dan MIC kerana tidak mempedulikan nasib kaum India. Undi siapa yang akan mereka pecahkan?

Jika Muhyiddin menggambarkan Zaid sebagai “lightweight”, pengundi Hulu Selangor mungkin sukar untuk memberi penarafan kepada Kamalanathan.

Mungkin yang mampu menyaingi Zaid adalah jentera besar dan janji-janji pilihan raya yang bernilai beratus juta ringgit yang sudah menjadi kebiasaan kempen BN. Tetapi kali ini juga BN menghadapi tentangan dari kawasan Parlimen yang berada dalam pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Dalam pertandingan yang tak mudah dimenangi ini, semua pihak terpaksa bekerja keras untuk memujuk pengundi yang semakin merasakan tekanan ekonomi keluarga, runtunan isu-isu perkauman dan kekeliruan semasa yang dipenuhi slogan-slogan kosong.





Dato Zaid Ibrahim Calon Pakatan di Hulu Selangor

13 04 2010

Sungguhpun pengumuman rasmi belum dibuat,namun sola calon PKR telah bertiup kencang di alam maya.Nampaknyat teka teki rakyat malaysia telah menjadi.Dato Zaid Ibrahim bakal mengalas tugas berat mempertahan kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Zaid Ibrahim dilihat sebagai tokoh politik nasional yang cukup popular. Meskipun bukan anak tempatan Hulu Selangor,namun itu bukanlah persoalan besar buat pengundi. Tinjauan yang dibuat menunjukkan Zaid Ibrahim sangat popular di Hulu Bernam dengan 90% responden inginkan beliau bertanding di situ.

Secara keseluruhan, 60% responden dari seluruh bahagian Hulu Selangor memilih Zaid Ibrahim untuk bertanding berbanding dengan calon anak tempatan iaitu pakar bedah saraf, Dr Halili. Zaid dilihat lebih popular dan kerap muncul dalam isu isu nasional.

Muhyidin hari ini telah menyatakan kesediaan membuka semua aib dan tembelang Zaid Ibrahim. Muhyidin kata, BN akan mendedahkan macam macam perkara tentang Zaid. Kita akan sama sama lihat apakah yang akan terdedah nantinya.

Saya yakin,pemimpin Pakatan telah memikirkan strategi terbaik bagi berhadapan dalam pilihanraya yang cukup penting,getir dan sengit ini.BN kini dilihat mula  memainkan isu calon tempatan untuk mempengaruhi pengundi untuk menolak Zaid. Khir Toyo pula nampaknya sudah mula mahu berkempen untuk BN di Hulu Selangor.

Sebagai rekod, Khir Toyo pernah dikritik hebat kerana menghadiahkan penyapu sampah kepada PBT di Hulu Selangor.Perbuatan beliau dilihat sangat memalukan dan menjatuhkan maruah pegawai kerajaan. Mungkin ia satu sebab kenapa kerajaan Barisan Nasional dihukum di Selangor kerana dendam kakitangan kerajaan kepada pentadbiran BN.





BN Masih Dalam Dilema

12 04 2010

Bahang PRK Hulu Selangor makin hari makin panas.Pihak BN dan Pakatan kini masing masing dilihat sibuk mengatur strategi bagi memenangkan parti mereka. BN sudah tidak berahsia lagi. Najib telahpun mengakui MIC akan bertanding. Yang menjadi dilema waktu ini ialah siapakah dari MIC yang akan bertanding?

Samy Vellu kata dia hanya hantar satu nama saja. Tapi Muhyidin kata hari ni BN ada beribu calon yang boleh diketengahkan di Hulu Selangor dan beliau berkata , nama nama telah dishortlist. Yang mana satu yang betul? BN nampaknya sekali lagi terjerat dengan isu calon.

BN kecundang di Kuala Terengganu dan di Permatang Pasir kerana salah memilih calon. Calon yang dipilih tidak disukai masyarakat setempat. Hanya Palanivel dicadangkan MIC di sana. Beliau sudah merayu rayu untuk diberi peluang. Kesian.Tapi masyarakat bawahan nampaknya tidak suka Palanivel. UMNO tak suka beliau. UMNO Hulu Selangor kata kok iye pun MIC nak jadi calon,pilihlah selain dari Palanivel.

setakat ini tinjauan umum masih memberi kelebihan kepada Parti Keadilan Rakyat dari PR untuk memenangi pilihanraya kecil ini. Keputusan undian yang dijalankan di mstar online.com  (pro-UMNO).Saya tidak dapat mengupload pol tersebut disini. cukuplah kalau saya bagi link di sini:

http://mstar.com.my/tinjauan/?id=168&view=result&err=invalid





BN Diramal Kalah Pilihanraya Kecil Hulu Selangor Kerana Pilih MIC

9 04 2010

Ihsan : Suara Keadilan


Sistem kuota yang diamalkan oleh Barisan Nasional dalam pembahagian kerusi berkemungkinan menjejaskan peluangnya untuk memenangi pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen P094 Hulu Selangor.

Menurut bekas Ketua Pengarang Kumpulan The News Straits Times, Datuk A. Kadir Jasin walaupun media mewar-warkan bahawa populariti Umno kini kembali pulih dan sokongan kaum Cina bertambah mantap kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, namun keputusan tidak memihak kepada calon Melayu atau Cina untuk bertanding dalam PRK Hulu Selangor.

“Semua indikasi menunjukkan kerusi ini akan sekali lagi diberi kepada MIC, parti yang paling kecil dan lemah dalam gagasan BN pada peringkat federal yang secara kebetulan kalah kepada PKR dalam pilihan raya umum 2008.

“Inilah dilemma BN yang mungkin akan mengorbankan kerusi ini sekali lagi. Bukan sahaja MIC parti yang terkecil dalam kumpulan parti asal di Semenanjung, bahkan ia juga mempunyai pengikut paling sedikit di Hulu Selangor,” kata Kadir dalam catatan blognya Isnin lalu.

Kawasan Parlimen tersebut didominasi oleh penduduk Melayu yang merangkumi hampir 54 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar seramai 63,000 orang, diikuti oleh pengundi Cina (26.7 peratus) dan India (19 peratus).

Spekulasi yang berlegar ialah calon BN yang kalah iaitu Datuk G. Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC akan dipilih menjadi calon.

“Seorang yang dianggap baik tetapi hubungan rapat beliau dengan presiden parti, Datuk Seri S. Samy Vellu, juga tokoh dari MIC yang kalah teruk dalam PRU 2008, dilihat sebagai satu liabiliti.

“Meletakkan calon India di yang mempunyai kawasan majoriti Melayu serta komuniti Cina yang besar, dan di mana Pakatan Rakyat melalui Parti Keadilan Rakyat akan menampilkan seorang calon Melayu, akan hanya melemahkan peluang BN untuk mengambil balik kerusi tersebut,” jelas Kadir.

Kerusi Hulu Selangor kosong berikutian kematian wakil KEADILAN, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mach.

Pada PRU 2008 Zainal Abidin mengalahkan Palanivel dengan majoriti tipis sebanyak 198 undi. Beliau mendapat 23,177 undi berbanding Palanivel yang memperolehi 22,979 undi.

“Samada  Umno atau the BN tidak berani mengakui bahawa kekalahan kerusi itu disebabkan undi protes pengundi Melayu terhadap Umno yang ketika itu dipimpin Tun Abdullah Ahmad Badawi dan ketidakpuasan hati terhadap calon India yang dipilih.

“Demonstrasi besar-besaran oleh pertubuhan haram, Hindraf yang mendakwa penindasan ke atas kaum India serta reaksi MIC telah menyebabkan kemarahan orang Melayu. Akibatnya majoriti calon MIC termasuk Samy Vellu, kecundang dalam pilihan raya,” kata beliau lagi.

Tambah Kadir, kelompok Melayu yang tidak berpuas hati tersebut  mungkin tekah kembali menyokong Umno di bawah Najib seperti mana yang dicanangkan oleh parti itu.

Persoalannya adakah mereka akan mengundi BN di Hulu Selangor sekiranya gagasan itu masih diwakili oleh MIC?BN kalah kerusi tersebut pada PRU 2008 disebabkan protes oleh penyokong Umno.Mereka juga bencikan pentadbiran Abdullah dan terguris akibat protes kaum India pada 2007 kata pengarang veteran itu.

“Keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor mengatakan segalanya. Peratusan keluar mengundi adalah rendah – hanya 75.24 peratus – dan bilangan undi rosak dan ditolak adalah tinggi – 1,689 – menunjukkan elemen protes yang kuat.

“Saya tidak fikir pandangan dan perasaan ahli dan penyokong Umno terhadap MIC telah berubah kepada suatu yang positif. Mereka masih tidak yakin mengenai kekuatan MIC kerana tampuk pimpinan parti masih kekal dan tidak banyak berubah. Samy Vellu masih kekal berkuasa sementara pada waktu yang sama Umno dan MCA telah melalui proses pertukaran kepimpinan.

“Tambah lagi kesetiaan pengundi India berbelah bagi dengan begitu banyak parti politik dan NGO India berebut-rebut untuk mendapatkan sokongan kaum itu.

“Keputusan PRU 2008 jelas menunjukkan majoriti pengundi India berpihak kepada KEADILAN-DAP-Pakatan Rakyat,” ujar Kadir dalam analisis beliau.

Menurut Kadir lagi, terdapat parti berasaskan kaum India lain yang kecil – samada yang menyokong BN atau sebaliknya – seperti PPP, IPF, MIUP, Makkal Sakti, Mindraf, Kimma dan Parti Punjabi Malaysia.

“Jadi, sementara meletakkan calon MIC mungkin dilihat selari dengan semangat BN dan untuk mengukuhkan kedudukan Perdana Menteri dikalangan kaum India, langkah ini dianggap amat payah untuk meyakinkan pengundi Melayu dan Cina untuk menyokong calon kaum India yang berkemungkinan gagal untuk memobilisasi sokongan dari komunitinya sendiri.

“Oleh itu sekiranya KEADILAN-Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan kerusi itu bukan kerana mereka kuat tetapi disebabkan BN masih belum pulih sepenuhnya. Sistem kuota yang masih digunakan dalam pembahagian kerusi antara parti komponen untuk membantu parti minoriti akan menjadi beban kepada BN,” kata Kadir.

Kata Kadir Pakatan Rakyat juga mempunyai masalah mereka tersendiri, terutamanya KEADILAN yang tercalar imejnya akibat tindakan melompat parti oleh tiga daripada 31 Ahli Parlimennya.

“Kita mungkin akn melihat ulang tayang tindakan protes oleh pengundi Melayu terhadap BN kerana memilih untuk meletakkan calon yang salah,” kata beliau.





Hulu Selangor Dapat 4 Sekolah Baru, di Sarawak Guru Duduk Rumah Ibarat Reban Ayam

3 04 2010

Ihsan : Malaysiakini Online

Pengumuman projek politik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjanjikan empat sekolah baru bagi Hulu Selangor, RM2 juta untuk mengatasi masalah banjir di Kampung Sentosa di Batang Kali serta meluluskan permohonan RM100,000 bagi Masjid Al-Sajdin di kampung yang sama, semalam mendatangkan padah.

Beliau dibidas oleh pelbagai pihak termasuk rakyat yang beranggapan BN cuba menggula-gulakan masyarakat di Hulu Selangor.

PAS dalam satu kenyataan berkata sebagai timbalan perdana menteri dan bukannya menteri kewangan, Muhyiddin berkuasa dengan sewenang-wenangnya mencurahkan peruntukan itu tanpa merrujuk kepada kementerian bertanggungjawab.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad.

Menurut beliau, dalam kesibukan BN cuba menjadi juara memperjuangkan masalah rakyat di Hulu Selangor, Muhyiddin telah dimalukan dengan pendedahan laporan dari Bernama.

Laporan itu memaparkan kisah empat guru di sekolah rendah Long Latin, Ulu Baram, Sarawak, termasuk sepasang guru suami isteri yang terpaksa tidur dalam sebuah bilik sempit yang daif sejak tiga tahun lalu.

Laporan Bernama itu disiarkan oleh beberapa media arus perdana hari ini.

“Lebih menyedihkan lagi, bilik kediaman guru-guru yang cekal ini adalah di bawah bilik darjah tempat mereka mengajar. Tidak dapat dibayangkan penderitaan yang mereka alami lantaran layanan ‘double standard‘ menteri pelajaran yang lebih ghairah mengumumkan projek-projek meganya di Hulu Selangor.

“Jika dibandingkan dengan rumah sebahagian guru-guru yang mengajar dan tinggal di Putrajaya, saiz 20 x 10 kaki itu, bersamaan dengan ruang tempat letak kereta di rumah mereka sahaja. Memang mewah guru di Putrajaya kerana kerajaan begitu menjaga imej sekolah di Putrajaya berbanding Ulu Baram,” katanya.

Menurut Idris, pendedahan itu amat memalukan kerana guru-guru berkenaan mengajar di kawasan parlimen BN, yang diwakili oleh Datuk Jacob Dungau Sagan (kiri) yang juga adalah timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

“Apakah Muhyiddin mahu tunggu sampai ahli parlimen Baram ini meninggal dunia baru hendak umumkan peruntukan bagi pembinaan rumah baru bagi guru-guru malang ini? Sewajar sebagai ahli parlimen bertaraf timbalan menteri, kawasan Jacob mendapat peruntukan yang lebih baik sekarang,” katanya.

Idris (kanan) berkata PAS melihat, pendedahan Bernama ini hanyalah sebahagian kecil daripada kudis-kudis yang ada dalam pengurusan menteri pelajaran dan kerajaan BN.

Justeru, beliau berharap rakyat, khususnya di Hulu Selangor tidak tertipu dengan taktik projek politik itu kerana BN akan menabur sebanyak mana janji dan peruntukan yang mampu semata-mata untuk merampas semula kerusi Hulu Selangor.

Kerusi Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad dari PKR pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Suruhanjaya Pilihan Raya, semalam mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor ditetapkan pada Ahad, 25 April, manakala penamaan calon pula ialah pada 17 April.





Projek Mi Segera Membuka Tirai PRK Parlimen Hulu Selangor

3 04 2010

Pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor akan berlangsung 3 minggu dari sekarang iaitu pada 25 April 2010.Penamaan calon pula pada 17 April 2010. Sungguhpun kempen belum bermula,namun Tan Sri Muhyidin Yasin telah memulakan kembali budaya projek mie segeranya di Hulu Selangor.

Tindakan Muhyidin ini jelas bertentangan dengan arahan dato Seri Najib. Jika diimbas kembali, Barisan Nasional telah menjanjikan projek beharga ratusan juta ringgit semasa PRK parlimen Kuala Terengganu pada awal tahun 2009 dahulu. Meskipun puluhan projek dijanjikan,namun BN tetap ditolak oleh pengundi di sana.BN kalah dengan teruknya ditangan PAS.

Najib pada ketika itu telah menyatakan bahawa selepas ini tiada lagi projek mie segera semasa pilihanraya. Namun kini Muhyidin Yasin sudah lupa.Secara tiba tiba pengundi di Hulu Selangor digula gulakan pula dengan 4 sekolah baru dan projek tambatan banjir bernilai RM 2 juta.Jelas sekali Muhyidin engkar arahan Najib.

Bukankah ini jelas rasuah piliharaya?Adakah bila pilihanraya wujud,sekolah tiba tiba tidak cukup?adakah bilangan murid secara tiba tiba meningkat dengan mendadaknya?Nampaknya Muhyidin yasin masih menganggap pengundi Hulu Selangor ini bodoh bodoh belaka yang bisa dibeli undinya.

Pesanan saya pada pengundi Hulu Selangor,mintalah seberapa banyak projek dari BN pada waktu ini.Jika diberi duit RM100,minta RM 300. Jika diberi kain sehelai,minta 5 helai. Jika masjid diberi rm 100 ribu, minta rm 300 ribu. InsyaAllah dapat punya.Mintak je seberapa banyak yang anda mahu kerana anda berhak. Sebab duit yang Muhyidin guna bukan duit dia,tapi duit pembayar cukai.

Tapi bila tiba masa mengundi,undilah dengan bijak. Undilah Pakatan. Ingat, sedikit sahaja lagi untuk perubahan bermakna berlaku. Jangan pernah berundur kebelakang. Jika anda mahu Pakatan terus mara ke hadapan,undilah Pakatan.

Namun jika anda mahu BN kekal,jika anda mahu media terus berat sebelah,rasuah terus berleluasa,penyakit sosial terus merebak,ekonomi terus rapuh,sistem kehakiman terus dipertikai,keadilan tidak tertegak,maka dipersilakan mengundi Barisan Nasional.