Ulasan Dr Asri Berkenaan: 1Malaysia,Peguam Syarie Non Muslim,Isu Kalimah Allah,Isu Masuk Masjid,Isu Sebat dan Perarakan Maulud

30 05 2010
Source: Malaysiakini

Saya bukan orang politik. Bukan aktivis mana-mana parti. Saya seorang rakyat yang memerhati perkembangan pemikiran Islam dalam negara ini.

Artikel ini akan menyebut istilah ulama Umno atau ulama pro-Umno. Walaupun istilah ini umum, namun saya mengecualikan mereka yang ikhlas dan tidak bersikap seperti yang disebutkan nanti.

Saya tidak faham mengapakah Umno kebelakangan ini suka berkeras mengambil pandangan-pandangan agama yang bersifat perkauman dan amat konservatif.

Dulu mereka lebelkan PAS demikian. Namun hari ini apabila PAS mula membuka ufuknya, melihat Islam dalam kerangka yang lebih luas, Umno pula yang cuba kembali ke zaman ortodoks tersebut.

Ya, memang masih ada dalam PAS sendiri kelompok yang ‘ala ulama Umno’ hari ini, yang juga mengurung diri dengan pandangan-pandangan yang agak konservatif dan menolak keluasan ijtihad.

Namun suara pembaharuan dan keterbukaan jelas kedengaran dalam PAS. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak lagi bersendirian dengan pandangan-pandangan pembaharuannya.

Pelik, sebagai pemerintah mengapa Umno menerima pandangan-pandangan yang sempit itu. Padahal pandangan-pandangan itu hanyalah tafsiran ‘kurang luas’ golongan konservatif agama, atau satu ijtihad yang boleh untuk dilihat atau dibandingkan dengan ijtihad yang lain.

Apakah kerana Umno merasakan bahawa mereka hanya mampu bernafas dalam iklim yang kurang ‘oksigen keluasan ijtihad’ atau hanya gas perkauman dan fahaman ‘sempit’ agama sahaja yang mampu menghidupkan Umno.

Keserasian wajah 1Malaysia

Atau, apakah ulama-ulama pro-Umno hanya mampu bernafas selagi parti itu dikurangkan oksigen keluasan berfikir? Atau, apakah Umno melihat rupa paras Islam dalamnya hanya mampu dilihat jika ia bersifat keras dan sokongan Melayu pun akan datang kepadanya dengan membakar isu-isu tersebut?

Di manakah keserasian wajah 1 Malaysia Perdana Menteri dengan pendekatan Islam Umno hari ini?

Sebagai pemerintah bagi sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama, oksigen keluasan ijtihad diperlukan oleh Umno. Mengapakah Umno menerima pendapat-pendapat yang menajamkan salah faham terhadap Islam di negara ini.

Dulu Umno menolak pihak yang membangkitkan tuduhan 300 ribu orang Melayu murtad serta menuduh individu dan institusi itu dan ini sebagai pusat Kristian.

Hari ini pendapat pihak seperti tersebut diterima pakai. Bahkan beliau dijadikan perlambangan ulama pro-Umno. Atau memang Umno kini berminat dengan perdekatan yang sifatkan media antarabangsa sebagai ‘ala-ala Taliban’?

Segala tudingan Umno dahulu kepada PAS sebagai pembawa Islam sempit dan jumud, hari ini PAS hampir dapat membebaskan diri dan imejnya seumpama itu sedangkan sebaliknya Umno pula yang memakai seragam kejumudan dan kesempitan tersebut.

Peguam bukan Islam

Lihat, isu peguam bukan Islam di Mahkamah Syariah. Media-media Umno membesar-besarkan isu ini seakan ia akan memusnah orang Islam.

Diambil pendapat pihak yang menyatakan bahawa itu akan mengelirukan umat Islam dan mengancam Islam. Saya ditanya oleh Utusan Malaysia, namun apabila saya beri pendapat yang berbeza, ia tidak disiarkan.

Isu itu boleh memberikan gambaran salah kepada bukan Islam, dan juga generasi baru Muslim mengenai Islam.

Bagaimanakah mungkin, universiti rasmi kerajaan UIAM memberikan sijil yang sah dalam bidang tersebut kepada peguam berkenaan, tetapi kerajaan yang sama menyatakan ia tidak boleh digunapakai?

Apakah ini secocok dengan keadilan Islam?

Kedua, bayangkan dalam sebuah negara Islam sepenuhnya yang hanya bertunjangkan Mahkamah Ssyariah, tiba-tiba kita beritahu bukan Islam tidak boleh menjadi peguam!

Apakah dalam negara yang berbilang agama ini, mereka akan pandang tinggi tentang konsep keadilan di mahkamah yang bersifat Islam seperti itu?

Peguam ialah pembela. Sesiapa sahaja boleh membela tertuduh di mahkamah Islam. Yahudi pernah menang kes menentang Saidina ‘Ali dalam pertikaian baju besi.

Pada zaman Nabi SAW dan al-Khulafa al-Rasyidin, tiada sistem guaman secara rasmi. Seseorang boleh menuntut keadilan dengan hujah-hujahnya di hadapan hakim. Untuk membela atau berhujah, sesiapa pun boleh berhujah.

Penentunya, sistem kehakiman itu sendiri, bukan peguam. Di zaman kini lebih jelas. Undang-undang telah dienakmenkan. Ia bertulis dan setiap pihak terikat dengan undang-undang bertulis itu.

Sesiapa sahaja yang berhujah, sama ada Islam atau bukan Islam, mereka terikat dengan hal tersebut. Hakim akan menentukannya secara adil. Keadilan sebenar dapat diperolehi jika hakim adil.

Setiap pihak berhak membela diri, dan berhak meminta sesiapa sahaja yang mampu membelanya. Keadilan itu buta warna kulit dan jenis agama.

Islam yang seperti itulah patut digambarkan jika kita ingin menuju kepada Islamisasi negara yang sebenar. Jika ada beberapa peruntukan undang-undang yang kurang sesuai dalam masyarakat yang rencam ini maka ia perlu diubah.

Cara Umno mengendalikan isu tersebut, mengelirukan bukan Islam!

Jika tidak mahu benarkan, mengapa dia diizinkan melalui pengajian dan menghabiskan masa untuk itu, kemudian dimaklumkan ‘sijil awak tidak laku’.

Ulama pro-Umno bising. Menariknya, apabila ada orang yang ditahan tanpa diberikan hak perbicaraan, mereka diam! Tidakkah ini mengelirukan Islam dan bukan Islam?

Jika ini tidak diubah, Islam di negara ini terus menjadi defensive, takut pada bayang-bayang sendiri dan gagal memahamkan bukan Islam tentang keindahan Islam.

Lebih 50 tahun Umno memerintah, generasi baru bukan Islam bertambah prejudis dengan Islam yang dibawa oleh Umno. Golongan muda Islam juga demikian.

Agama dijadikan senjata permusuhan, bukan lagi rahmat yang menimbulkan kedamaian dan keyakinan rakyat kepada keindahan Islam.

Jika tanpa pendakwah-pendakwah dan tokoh-tokoh yang ikhlas menjelaskan tentang hakikat Islam sebenar, tentu bukan Islam bertambah prejudis kepada Islam.

Generasi Islam yang terpelajar juga akan mula mempersoalkan Islam seperti ini.

Isu kalimah Allah

Isu kalimah Allah juga demikian. Ulama pro-Umno, termasuk ‘ala Umno’ yang berada dalam PAS membakar rakyat awam dengan isu ini.

Sehingga ada ulama pro-Umno yang cuba mengkafirkan orang lain dalam isu nama Allah tersebut. Tidak cukup dengan 300 ribu yang dimurtadkan dulu, ditambah pula ahli politik yang cuba dijadikan murtad baru.

Semuanya kerana tafsiran yang sempit. Padahal, isu itu boleh diselesaikan dengan adil dan saksama. Diraikan hak agama lain dan dibuat beberapa peraturan untuk ketenteraman awam. Saya sendiri telah menggaris panduan dalam media. Bukan Islam ramai yang setuju.

Namun, ada yang cuba bermain sentimen rakyat yang kurang faham.

Media Umno pula hanya menerang pendapat sebelah pihak. Namun sekarang apabila melihat kekalahan di Sibu yang membabitkan penduduk Kristian, Umno mula gelisah. Apakah Umno akan meminta fatwa baru dari ‘mufti’ yang setia berkhidmat itu?

Isu masuk masjid

Isu bukan Islam tidak boleh masuk ke dalam masjid juga dipopularkan oleh media Umno. Padahal larangan bukan Islam masuk masjid hanya salah satu pendapat dalam kalangan ulama.

Ulama hadis ramai berpendapat sebaliknya. Ini disebabkan hadis-hadis menunjukkan bukan Islam pada zaman Nabi SAW masuk ke dalam masjid dan mempelajari Islam.

Jsuteru, di zaman kini yang banyak salahfaham terhadap Islam, mereka lebih patut dibenarkan masuk.

Cumanya, letakkan beberapa peraturan atas asas siyasah syar’iyyah (islamic administration). Namun, jika apabila dikemukakan pendapat bahawa bukan Islam boleh masuk ke masjid, bangkitlah ulama-ulama pro-Umno dengan fatwa-fatwa ketat dan seakan hendak berjihad mempertahankannya.

Malang sekali, apabila timbul isu judi bolasepak, tidak pula mereka berani lantang dan tegas. Tidakkah ini mengelirukan? Apa tidaknya, apabila bukan Islam hendak masuk masjid dihalang, tapi apabila diberikan keizinan berjudi didiamkan!

Isu Sebat

Isu sebat tiba-tiba muncul. Dulu Umno sensitif dengan hudud. Dalam persekitaran yang ada, saya juga fikir PAS tidak perlu menegaskan isu hudud. PAS sejak dulu patut angkat isu keadilan seperti mereka lakukan sekarang.

Keadilan itulah objektif. Hudud adalah mekanisma yang boleh diselaraskan apabila keadaan wajar.

Hukum yang baik untuk tempat yang sesuai. Sama seperti wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Jika wanita yang baik dikahwinkan dengan lelaki yang jahat, kepincangan akan berlaku.

Demikianlah hudud. Saya telah beri pandangan dalam masalah ini.

Tapi kini, tidak semena-mena tanpa mukadimah yang jelas agar rakyat faham, Umno mencanangkan isu sebat Kartika dan tiga wanita di Wilayah Persekutuan.

Menurut laporan media, mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria kata sesiapa hina hukum sebat murtad kerana ia hukum Allah. Namun, apabila Sultan Pahang batalkan hukuman, beliau berkata itu hak Sultan.

Saya telah beri pandangan dalam kes ini, boleh rujuk laman web saya. Keajaiban ulama dalam media Umno!

Perarakan Maulid

Apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat kata perarakan maulid bukan galakan agama, media Umno dan ulama pro-Umno membuat ulasan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diserang. Walaupun saya ketika itu menulis dalam Mingguan Malaysia, saya memberikan pandangan yang berbeza.

Artikel saya ‘Melayu dan Mamak Penang‘ boleh dirujuk. Media Umno jadikan seakan isu itu benteng Melayu-Islam di Malaysia.

Di Kelantan, lebai entah dari mana datangnya, pun menulis di Mingguan Malaysia kononnya Nik Aziz – Wahabi disebabkan isu-isu seperti ini.

Bisinglah mereka. Malangnya, media dan ulama pro-Umno tidak pula bising keruntuhan moral muda-muda Melayu-Islam saban tahun disebabkan perhimpunan pesta sambutan tahun baru yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin politik!

Inilah ulama yang pro-Umno sekarang. Apakah mereka ini dapat menarik perhatian generasi baharu Islam dan bukan Islam kepada Islam?

Barah

Banyak lagi isu lain jika hendak disebutkan yang membabitkan ulama dalam Umno.

Saya bukan anti-Umno tetapi inilah realitinya. Saya ramai sahabat dalam Umno. Kepimpinan Umno bermula dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga ke lapisan bawah, ramai yang baik dengan saya. Tapi ini realiti. Kritikan saya untuk semua. Kali ini khas untuk Umno.

1 Malaysia yang dicanangkan oleh Najib akan tenggelam dibakar oleh pemikiran sempit dan berkepentingan oleh sesetengah ulama Umno ini.

Malang sekali, di kala rakyat Malaysia mula bersikap terbuka, memahami Islam dari kerangkanya yang luas, menelaah ijtihad yang berbagai dan bersedia untuk berhujah secara matang, Umno memilih fatwa atau pandangan yang kian sempit dan berkepentingan.

Dunia sudah terbuka disebabkan media baru, Umno cuba kembali ke zaman selepas kemerdekaan.

PAS yang dahulunya dilihat kolot, mula dipenuhi dengan tokoh-tokoh politik Islam yang kian matang dan mampu mengadaptasi Islam dalam lakarannya yang luas. Pada masa yang sama Umno sedang kerumuni oleh sesetengah mereka yang ‘narrow-minded‘ dan melihat Islam dalam kerangka perkauman.

Bolehkah 1 Malaysia tajaan Perdana Menteri berjaya jika ini terus berlaku. Generasi muda Islam dan bukan Islam telah jauh ke hadapan meninggalkan kesempitan ini. Islam dalam kerangkanya yang lebih universal akan mengambil tempat.

Ulama Umno sebenarnya sedang membakar kapal sendiri dan menenggelamkannya. Perdana Menteri, patut menilai semula agenda 1 Malaysia!

//

Penulis adalah pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia sebelum dilantik menjadi mufti Perlis bermula 1 Nov 2006 – 30 Nov 2008. Beliau mendapat ijazah Ph.D dalam Islamic Revealed Knowledge And Haritage (Al-Quran And Sunnah Studies), UIA (2003) dan lulusan Ijazah Hadith dengan mendapat 5 ijazah sanad menerusi jalur ulama India (2001).

Beliau telah menghasilkan tidak kurang 20 buku, khususnya berkaitana dengan keagamaan dan membentangkan lebih 40 kertas kerja di peringkat tempatan mahupun luar negara.

Advertisements




Kerajaan Sediakan 1.2 Juta Laptop Percuma Bagi Keluarga Dengan Pendapatan <RM3000 Dengan Syarat Langgan Jalur Lebar Dengan Telekom Malaysia Berhad (TM)

29 05 2010

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR

pengarang@utusan.com.my

JELEBU 28 Mei – Kerajaan akan mengagihkan sebanyak 1.2 juta komputer riba secara percuma kepada rakyat berpendapatan rendah dan juga pelajar sekiranya mereka melanggani pakej perkhidmatan jalur lebar dengan Telekom Malaysia Berhad (TM).

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) yang bertujuan meluaskan penembusan akses jalur lebar kepada umum.

”Inisiatif pengagihan komputer berkenaan akan dijalankan secara berfasa iaitu bagi fasa pertama sebanyak 200,000 unit bakal diagihkan dan disasarkan selesai pada hujung tahun ini.

”Bagi fasa kedua pula, sebanyak 1 juta unit komputer berkenaan akan diagihkan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya pada sidang akhbar majlis Pelancaran Pakej Jalur Lebar dan NetBook Kos Rendah Terkini Untuk Isi Rumah Berpendapatan Rendah anjuran TM di sini hari ini.

Katanya, antara syarat dan golongan yang layak untuk mendapat pakej itu adalah mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Jelasnya, setiap individu yang layak diwajibkan melanggan perkhidmatan jalur lebar dengan TM secara kontrak selama 24 bulan bagi memiliki komputer riba berkenaan.

”Sekiranya permohonan memiliki komputer itu berjaya, mereka diwajibkan membayar yuran langganan sebanyak RM38 sebulan selama dua tahun kepada TM.

”Lebih menarik, bagi pelajar sekolah, mereka hanya dikenakan yuran langganan sebanyak RM20 berbanding pakej yang ditawarkan kepada isi rumah iaitu sebanyak RM38.” katanya.

Dalam pada itu, Rais berkata, bagi memastikan kelancaran pengunaan pakej jalur lebar itu, TM sedang giat memasang Pusat Akses (AP) bagi meningkatkan isyarat penerimaan jalur lebar.

”Dengan wujudnya AP ini orang ramai boleh mengakses Wifi iaitu akses Internet tanpa wayar dengan radius sejauh dua kilometer dari pusat AP,” jelasnya.

Rais juga mencadangkan pakej berkenaan diberikan kepada semua pengamal media di seluruh negara sebagai langkah menghargai peranan media dalam menjalankan tugas mereka.

”Saya akan berbincang dengan SKMM untuk memberi komputer riba ini kepada semua pelapor media yang merupakan warganegara ini. Perkara ini akan dibincang dalam tempoh terdekat,” ujarnya.





Kongres Nasional PKR ke-6 : Berpuluh puluh Ribu Ahli UMNO Keluar Parti Tahun 1999 dan Masuk PAS/PKR Apabila Dato Seri Anwar Di Singkir Dari Kerajaan

27 05 2010

Malaysian Insider

KOTA BARU, 27 Mei — Senator Dr. Syed Husin Ali berkata, pihaknya yakin fenomena “lompat katak” yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak awal 2009 akan menguatkan lagi parti itu kerana merupakan peluang “proses penucian” entiti politik berusia 12 tahun itu.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, memang diakui pada jangka pendek ada sedikit kesan buruk dari peristiwa “lompat katak” yang telah menyebabkan ia kehilangan 10 wakil rakyat setakat ini.

“Namun saya percaya dalam jangka panjang ia adalah baik bagi parti dan perjuangan suci kita,” kata pemimpin politik veteran ini.

Memulakan ucapannya dengan menyentuh isu melompat dan keluar parti, Syed Husin menambah, terdapat perbezaan besar antara “lompatan keluar parti dari PAS dan DAP dengan lompatan dari Umno.”

PAS, DAP dan PKR merupakan komponen Pakatan Rakyat ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke-12.

Menurut Syed Husin, peristiwa melompat dari Umno tidak menjadikannya lebih kuat akan tetapi lebih lemah.

“Bahkan akibatnya Umno baru menjadi buruk. Umno yang satu masa dulu hebat dan gah, sekarang ini menjadi tambah lesu dan semakin tidak relevan,” kata beliau berucap merasmikan serentak Kongres Nasional Keenam Angkatan Muda Keadilan dan Wanita PKR malam ini.

Ini kali pertama majlis perasmian diadakan pada waktu malam, dan julung kali di Kelantan.

“Sebagai mana yang disebut oleh teman pemimpin dari sebuah parti kawan, apabila sampah-sarap sudah berlalu, sungai akan lebih bersih.

Saya sendiri memandangnya begini: Umpamakanlah Parti ini sebagai mempunyai tompok-tompok kekotoran. Bukankah apabila kotoran dari tubuh dapat dibersihkan, kulit menjadi cerah dan badan menjadi sihat?” katanya.

Syed Husin (gambar) menjelaskan, beliau selalu mengatakan “lompat parti” ini satu proses yang positif iaitu sebagai proses penucian walaupun bukan akibat dari tindakan parti sendiri pada permulaannya.

“Mulai sekarang kita harus tegas dan tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas anasir-anasir yang merosakkan parti,” kata beliau.

“Akhir-akhir ini kita melihat beberapa berita media yang membesarkan laporan tentang beberapa kerat anggota Parlimen dan juga apa yang didakwa sebagai “pemimpin parti” melakukan “lompat katak” dengan tiada prinsip sama sekali.

“Kita ketahui ramai dari mereka bukanlah seperti yang didakwakan. Selain itu bilangan yang keluar itu tidaklah seramai yang dibesar-besarkan,” katanya lagi.

Syed Husin mengakui di antara mereka yang keluar itu memang ada sebilangan kecil yang merasa kecewa dengan parti.

“Tidak dinafikan juga bahawa sedikit sebanyak berita-berita besar dalam media mempunyai kesan negatif juga,” katanya.

Oleh itu, kata orang nombor dua PKR itu memberitahu, parti perlu mengkaji punca-punca kekecewaan tersebut dan berusaha mengatasinya.

“Jika didapati benar dan berasas, kita harus berusaha untuk mengatasinya. Kita tidak harus takut bermuhasabah diri dan kita mesti berani membuat pembetulan,” katanya.

Akan tetapi, tegas beliau, perlu ditegaskan kebanyakan mereka yang melompat mempunyai masalah pribadi.

“Ada yang terbelenggu oleh masalah kewangan, ada yang marah kerana tidak mendapat apa yang mereka mahu dari parti ataupun kerajaan yang dipimpin parti.

“Ada pula yang tidak dapat bekerjasama dengan anggota dan pimpinan parti di peringkat ranting dan cabang. Selain itu ada pula yang gagal menjalankan tugas sebagai “wakil rakyat” dan sebagainya. Mereka mudah dibeli,” katanya lagi.

Syed Husin tidak menafikan ada pihak yang merasa bimbang dengan peristiwa “lompat katak” yang melanda PKR.

Daripada 10 wakil rakyat yang telah meninggalkan PKR, lima melibatkan Ahli Parlimen.

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri PKR Perak keluar parti awal tahun lalu, sekali gus membuka laluan kepada tumbangnya kerajaan negeri itu.

Malah, PKR juga berhadapan dengan tindakan keluar parti pemimpin peringkat negeri dan cabang, yang disaksikan ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor bulan lalu.

“Kita tidak perlu bimbang sangat dan harus menghadapinya dengan sikap positif. Tiap-tiap bulan parti menerima sekitar 5000 permohonan anggota baru.

“Beberapa bulan lalu, dalam tempoh tiga bulan sebanyak kira-kira 50,000 permohonan.

“Selain itu, kita harus menimba ilham dari sejarah, kita harus dimotivasikan oleh keadaan sekarang dan kemungkinan masa hadapan yang mencabar tetapi cerah,” katanya lagi.

Syed Husin menambah, cerita “lompat katak” bukan berlaku di PKR sahaja.

“Dari segi sejarah, kita lihat pada peringkat-peringkat tertentu, terutama permulaannya, PAS mengalami ramai juga pemimpin yang keluar parti.

“Antara lain, Yang Dipertuanya (Asri Muda), Setiausaha Agungnya (Othman Abdullah) dan kemudian Naib Yang Dipertua (Nakhaie Ahmad) meningalkan PAS.

“Umno dengan gembira mengisytiharkan PAS akan gulung tikar. Apa yang berlaku? PAS menjadi bertambah kuat,” katanya.

Begitu juga dengan DAP, kata beliau dengan merujuk kepada Goh Hock Guan, yang merupakan Setiausaha Agung ketika itu.

“Beliau kemudian dituruti pula oleh Ricard Ho (Timbalan Pengerusi) dan agak lama selepas itu oleh Lee Lam Thye, seorang pemimpin yang popular. MCA segera mengumumkan DAP akan berkubur.

“Seperti kita lihat DAP menjadi bertambah kuat. Yang berpecah-belah dan hendak berkubur sekarang ialah MCA,” katanya lagi.

Katanya, jangan pula sangka tidak ada apa-apa yang pernah berlaku dalam Umno.

“Sebenarnya apa yang mereka alami lebih teruk lagi. Selepas (Datuk Seri) Anwar Ibrahim disingkir dan diaibkan, berpuluh-puluh ribu ahli meninggalkan Umno untuk memasuki PAS dan PKR.

“Sehingga sekarang sebahagian besar masih setia kepada kedua-dua parti,” katanya sambil menambah, sebelum itu akibat beberapa tindakan Dr. Mahathir yang memecah-belah Umno dan memimpin secara kuku besi.

“Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn (dua orang bekas Presiden Umno dan mantan Perdana Menteri) telah keluar dari Umno.

“Mereka tidak menjilat air ludah, bahkan mati di luar parti bobrok tersebut. Ini berbeza dengan tindakan Dr Mahathir yang telah menjadi “katak lompat” sekejap saja,” jelas Syed Husin.

Syed Husin juga berkata, PKR akan menjadi benar-benar kuat dan mantap hanya sekiranya mempunyai ramai pemimpin dan anggota yang berpegang teguh kepada “ideologi” atau dasar perjuangan parti.

“Kita perlu bergerak cergas dalam parti dan di kalangan massa rakyat; jikalau tidak boleh setiap minit, setiap jam dan setiap hari, sekurang-kurangnya setiap minggu dan setiap bulan berterusan,” katanya.





Wajah PAS,UMNO dan PKR. Siapa Pilihan Rakyat Malaysia?

27 05 2010

muktamar PAS

Pemimpin Ulung PAS

Perhimpunan Agung UMNO

Barisan Pimpinan Elit UMNO

Kongres PKR

Pimpinan PKR





Drama Tamil oleh MIC Bertajuk : Nak Masuk PAS atau Nak Terus Dengan UMNO

26 05 2010

Sammy,tiba tiba popular pada waktu ini!

Sejak akhir akhir ni media hangat memainkan isu MIC dan Sammy Vellu. Macam macam berita kita baca. Dah rasa macam drama hindustan pun ada. Mula mula V Mugilan (timb ketua pemuda MIC) desak Sammy Vellu berundur. Lepas tu Sammy Vellu pecat V. Mugilan. Lepas tu 2 lagi ajk tertinggi parti di pecat sebab turut desak Sammy Vellu berundur.

Lepas V Mugilan pun tubuh GAS (Gerakan anti Samy) bertujuan mengembleng kekuatan untuk jatuhkan Sammy. Dia kata dia akan berhimpun hujung minggu ni di PWTC dengan membawa 7000 ribu orang yang tak suka Sammy. Lepas tu keluarlah heronya iaitu anak Sammy Vellu yang menuduh UMNO sebagai dalang dalam komplot menjatuhkan Sammy.

V Mugilan nak Ganyang Sammy Vellu

Muhyidin pun marah.Dia kata anak Sammy ni biadap. Tapi anak Sammy tak nak ubah pendirian.Bagi dia memang semua ni keja UMNO. Dari apa yang saya baca,UMNO didakwa menyokong aksi aski V. Mugilan. Lagi satu dewan PWTC tu dikatakan di tempah oleh UMNO untuk digunakan oleh V Mugilan dalam melancarkan gerakan untuk ganyang Sammy Vellu.

Datuk S Subramaniam,musuh politik Sammy Vellu

Tak cukup dengan tu seorang lagi aktor cerita ni, Bekas timbalan Presiden MIC Datok S. Subramaniam mendakwa, Sammy telah memecat 100 ribu orang sepanjang tempoh beliau berkuasa dalam MIC (30 tahun). Betul atau tidak silalah tanya Subramaniam

Sokong PAS

So peleraian kepada drama ni ialah seruan dari Mr Balasubramaniam,  timbalan ketua Dewan  Himpunan Penyokong PAS Pusat supaya ahli MIC cepat cepat tinggalkan kapal MIC yang sedang karam dan bersama sama beliau dan 20 ribu lagi ahli non-muslim dalam perjuangan keadilan bersama PAS.

kini PAS menjadi pilihan masyarakat India

T. Mohan pula selaku Ketua Pemuda MIC pula menggertak UMNO dengan menyatakan bahawa MIC akan memikirkan semula kedudukannya dalam BN sekiranya UMNO terbukti bersubahat dalam gerakan mengganyang Sammy.

So best tak drama ni?





Pakatan Sekat Lesen Judi, BN Lulus Lesen Baru

25 05 2010

judi bola sepak

Isu Judi nampaknya kian panas. Kini bukan setakat Pakatan Rakyat yang membantah. Malah bekas bekas wakil rakyat UMNO,Pemuda UMNO,Perkasa,NGO-NGO turut sama membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak yang dijangka memulakan operasi bulan depan.

Kita semua mesti ingat bahawa bukan judi bola saja yang haram,tapi semua jenis judi adalah haram. Judi golf ke,judi snooker ke or even judi batu seremban pun haram. Saya melihat bantahan judi bola ini adalah atas faktor ‘CUKUPLAH’..Nak naik muntah dah dengan isu judi haram jadah ni.

Negara ni dah terlalu banyak premis premis judi. Sport toto,Magnum Corp dan malah kita dah ada syurga judi di Genting Highland. Kenapa nak tambah lagi?Sepatutnya sekarang ni kita didik masyarakat kita yang judi ni merosakkan institusi keluarga,buat orang malas bekerja dan menggalakkan jenayah along dan juga jenayah jenayah lain.

PAS dan Pakatan yang bising bising bantah judi bola dah kena batang hidung balik. UMNO memulangkan peluru berpandu yang PAS lepaskan kembali ke muka mereka.Kalau sibuk sangat bantah judi bola sepak,kenapa tak hapuskan dulu judi dan rumah urut dinegeri yang mereka kuasai?

Sekali nampak macam betul. PAS dan Pakatan ni semua nak jadikan isu politik. Dalam isu judi bola sepak ni,PAS yang paling kehadapan membantah. Negeri Selangor,Pulau Pinang,Kedah dan Kelantan macam mana?Takkan takde judi kot?

Saya nak bagitahu semua pembaca bahawa segala lesen perjudian dan rumah urut adalah warisan dari kerajaan Barisan Nasional terdahulu.Bak kata Mahfuz Omar (MP Pokok Sena), itu semua adalah najis peninggalan BN dulu. Kerajaan Pakatan Rakyat seperti selangor dan Kedah tidak lagi mengeluarkan lesen baru untuk judi dan rumah urut. Kerana fokus mereka sekarang adalah mendidik  rakyat bahawa judi ini adalah penyakit.

Tuntasnya, tiada permit baru diluluskan.Ini bermaksud 4500 tempat judi dan urut di Selangor tu adalah yang diluluskan UMNO-Barisan Nasional semasa pemerintahan mereka dahulu. Di Kelantan memang dah lama ditutup pusat perjudian.

Tapi UMNO-BN bukan nak didik,malah nak tambah lagi kerosakan masyarakat yang sedia rosak dengan kebejatan sosial. Cabutan loteri dulu 3 kali seminggu dah jadi 4 kali seminggu. Wang judi diguna untuk bina prasarana sukan dan rumah ibadat…ish..ish..teruk betul.Sekarang tambah lagi satu judi bola sepak.

Pendek kata, Pakatan sekat judi,BN tambah lesen Judi. Nice!!





Mahasiswa 21 tahun berhak berpolitik Kerana Perlembagaan Malaysia Membenarkan Mereka Melaksanakan Hak Demokrasi Mereka

20 05 2010

Ihsan : Harakah

KUALA LUMPUR, 20 Mei: Pengerusi Pusat Perkembangan Budaya LLG, Datuk Dr. Toh Kin Woon berkata, tindakan empat mahasiswa Sains Politik UKM yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor seharusnya digalakkan dan bukan diambil tindakan oleh pihak Universiti.

Beliau dalam satu kenyataan memberitahu, tindakan empat pelajar tersebut sebenarnya selari dengan Seksyen 119(1a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan semua warganegara yang mencapai umur 21 tahun berhak menyertai politik dan layak mengundi dalam pilihanraya.

“Oleh itu, penyertaan politik ialah satu hak yang sah menurut perlembagaan, tiada sesiapa orang termasuk menteri berkuasa mencabuli hak mereka,” katanya.

Empat mahasiswa jurusan Sains Politik UKM iaitu Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ekoran terlibat pada PRK Hulu Selangor.

Selain itu, Kin Woon berkata tindakan keempat-empat mereka juga wajar dipuji kerana berani mempraktikkan hak demokrasi mereka dikala mendapat tekanan dari Kementerian Pengajian Tinggi dan juga Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Menurutnya, kekurangan ruang demokrasi di universiti telah menjadikan ramai mahasiswa tidak prihatin terhadap masyarakat.

Namun empat pelajar UKM tersebut telah membuktikan keprihatinan mereka terhadap Masyarakat.

“Dengan suasana intimidasi dan amaran Menteri Pengajian Tinggi Khaled Nordin, 4 orang mahasiswa yang mengikuti kursus politik masih berani mempraktikkan hak demokrasi mereka, tindakan ini harus digalakkan dan mendapat sokongan masyarakat.

“Sebab tindakan mereka menunjukkan pemikiran yang matang, rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap masyarakat dan pembangunan negara, ” katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa Timbalan Canselor UKM Profesor Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin menggugurkan dakwaan terhadap ke empat-empat yang dituduh dan menghentikan prosiding yang dijadual 4 Jun hadapan..

Pusat Perkembangan Budaya LLG juga katanya menyarankan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menghormati hak demokrasi mahasiswa yang termaktub di dalam perlembagaan, mengusulkan pemansuhan Auku serta merta.

Khaled katanya juga perlu merancang pelan pembaharuan pendidikan pengajian tinggi jangka masa panjang untuk menunjukkan janji ikhlas beliau dalam peningkatan kualiti IPTA.