Mengimbas Tsunami Politik PRU ke-12

9 05 2010

SUMBER : ARKIB BERITA UTUSAN MALAYSIA

Kempen agresif BN mungkin punca rakyat Kelantan kurang berminat

09/03/2008 3:42pm

JELI 9 Mac 2008 — Rakyat Kelantan mungkin menolak Barisan Nasional (BN) kerana kurang berminat dengan taktik calon BN yang begitu agresif sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya umum semalam, kata Ahli Parlimen Jeli Datuk Mustapa Mohamed.

Katanya, kemungkinan sikap dan cara berkempen seperti itu di Kelantan telah menimbulkan rasa kurang berminat oleh rakyat negeri itu terhadap BN.

“Kita akui yang kita banyak menyerang dalam menyampaikan ucapan pada kempen pilihan raya, bagaimanapun mungkin ada sebab lain yang menyebabkan rakyat menolak kita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pas terus menguasai Kelantan buat penggal keempat berturut-turut setelah ia bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 39 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-12.

Pas mencatatkan kebangkitan mengejutkan dengan pencapaian jauh lebih baik berbanding pilihan raya umum 2004 lalu apabila memperoleh 38 daripada 40 kerusi manakala PKR satu daripada lima kerusi ditandingi.

Bagi kerusi Parlimen pula, Pas menguasai sembilan kerusi, PKR tiga manakala BN hanya dua kerusi melalui Tengku Razaleigh Hamzah yang berjaya mengekalkan kerusi Gua Musang dan Mustapa.

Mustapa, yang juga Menteri Pengajian Tinggi berjaya mempertahankan kerusinya dengan majoriti 4,436 undi setelah mengalahkan calon Pas Mohd Afandi Mohamad.

Mengenai agenda pembangunan BN di Kelantan, katanya rancangan itu akan diteruskan mengikut pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“Kita akan teruskan rancangan yang telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan,” katanya. – Bernama

Tajol Rosli kunci pintu dan menangis

KEDIAMAN rasmi Menteri Besar Perak dikawal ketat oleh polis malah dikunci bagi menghalang orang ramai memasukinya di Ipoh, semalam.

IPOH 9 Mac 2008 – Kekalahan mengejut Barisan Nasional (BN) Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-12 semalam merupakan sesuatu yang di luar jangkaan banyak pihak terutama Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.

Beliau yang berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Hulu dikatakan hanya mampu menangis di kediaman rasminya bersama penyokong dan pemimpin kanan UMNO negeri malam tadi.

Berita kekalahan demi kekalahan calon BN juga membuatkan beliau terkedu hingga enggan menemui orang ramai dan pihak media yang berkumpul di kediaman rasminya sejak pukul 8 malam.

Hasrat pihak media untuk mendapatkan reaksi dan ulasan mengenai kejayaan pembangkang juga terbantut apabila beliau tetap mengurung diri di dalam rumah tersebut.

Sehingga ke pukul 6 pagi ini, pihak media masih gagal mendapatkan sebarang komen daripadanya malah wartawan diminta beredar secara baik oleh penyokong-penyokong beliau.

Pihak media yang setia menunggu dan sanggup bersengkang mata akhirnya mengalah dan mengambil keputusan untuk beredar bagi melaksanakan tugasan lain.

Usaha mendapatkan komen daripada Tajol Rosli sehingga kini masih diteruskan tetapi malangnya rumah kediaman rasmi itu dikawal ketat polis malah telah dikunci bagi menghalang orang ramai dan media memasukinya.

Difahamkan, Tajol Rosli masih terkejut dan bersedih hingga enggan menemui mana-mana pihak bagi mententeramkan perasaannya. Beliau sebelum ini dilihat begitu yakin bahawa BN mampu sekurang-kurangnya mengekalkan kemenangan pada pilihan raya umum lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 semalam, pembangkang berjaya membentuk kerajaan baru selepas menang 31 kerusi DUN manakala BN hanya mampu menguasai 28 kerusi.

Pembangkang turut menang di 11 kerusi Parlimen manakala BN memperoleh 13 kerusi.

PKR dakwa provokasi media punca menang

KUALA LUMPUR 9 Mac 2008 – Provokasi melampau oleh media massa terhadap parti pembangkang sepanjang 13 hari kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 didakwa menjadi punca utama yang menyumbang kepada kemenangan luar jangkaan kepada parti tersebut.

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali mendakwa, pendekatan media itu didapati memberi kelebihan kepada parti pembangkang kerana ia telah mewujudkan perasaan simpati di kalangan pengundi.

Menurutnya, semakin banyak provokasi yang dilakukan oleh media, semakin ramai yang menyokong parti pembangkang dan sokongan itu dapat dilihat pada saat-saat akhir berkempen.

“Kalau sesekali (provokasi) orang boleh terima tetapi sekiranya terlalu kerap, perasaan benci akan bertukar kepada simpati.

“Inilah kesilapan yang dilakukan oleh jentera Barisan Nasional yang memberi keuntungan kepada parti pembangkang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau turut menyifatkan tindakan media itu telah menyebabkan calon-calon BN leka, selesa dan berasa yakin akan memperoleh kemenangan mudah berbanding parti pembangkang yang bertungkus-lumus menangkis provokasi terhadapnya.

Mohamed Azmin berkata, provokasi yang dilakukan oleh media pada pilihan raya kali ini adalah yang paling dahsyat berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Namun pengalaman tahun ini amat bermakna buat kami kerana kami tahu rakyat sekarang tidak boleh menerima kempen yang terlampau agresif,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang memenangi kerusi Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa berkata, penguasaan parti pembangkang pada pilihan raya ini memang sudah dijangkakan.

Tambah beliau, kekuatan parti pembangkang adalah melalui isu-isu yang membelenggu rakyat terutama kenaikan harga minyak dan barang-barang serta peningkatan jenayah.

“Nampaknya isu-isu yang kami perjuangkan menepati mood rakyat,” tambah beliau.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: